Thursday, April 24, 2014

Dengar

Kita dikurniakan Tuhan dengan lima nikmat pancaindera (secara saintifik). Dan daripada nikmat deria-deria itu kita berupaya mempunyai pandangan tentang dunia ciptaan Tuhan. Daripada situ, kita disuruh untuk memanfaatkan nikmat kurniaan itu untuk mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk alam yang lain pula.  

Tentu sekali, apa yang dikatakan sebagai memanfaatkan nikmat tersebut adalah menggunakannya dengan cara dan jalan yang betul.

Kita mungkin jarang, atau tidak pernah sekali sedar bahawa pada kebanyakan masa, apabila kita menggunakan lebih dari satu deria, salah satu daripadanya akan gagal berfungsi dengan baik. Satu deria menjadi lebih dominan dan memberi kesan secara tidak sedar akan kerosakan fungsi pada deria yang satu lagi.

Contohnya, apabila kita menghidu makanan yang lazat, kita akan menutup mata menikmati bau harum, sedap dan meliurkan dari makanan itu. Mata, malah telinga dan segala deria lain yang kita sedar kurang berfungsi seolah-olah tertutup sebentar memberi laluan kepada hidung untuk berfungsi dengan senikmat-nikmatnya.

Kenapa? 

Kerana itulah indah ciptaan Tuhan dijadikan saling bekerja dan bergerak bersama dalam aturan tetapi tidak akan berlanggar melainkan dengan keizinan.

Begitulah juga apabila kita bercakap. Saban hari manusia apabila berpeluang bercakap, mereka akan jauh daripada meluangkan masa untuk mendengar. Malah, bila kita bercakap, telinga kita akan gagal untuk berfungsi lagi.

Manusia suka akan penghargaan diri. Kerana itu mereka suka didengar. Dengan ruang yang diberi untuk mereka didengari, atas apa yang mereka cakapkan, manusia berasa dihargai.

Tetapi salahnya ialah, apabila kita langsung tidak memberi peluang untuk diri kita mendengar. Kita lebih asyik bercakap, dan akhirnya apa yang disampaikan oleh orang tidak lagi kita dengar. Kita jadi tidak pandai mendengar. 

Adakah kita faham bahawa dunia ini tidak wujud untuk manusia bernama kita saja,tetapi adalah hak milik bersama? Sehingga itu, kita yang tidak sedar diri menjadikan kuasa kita untuk mengguna setiap ruang sebagai ruang untuk kita sahaja bercakap. Akhirnya kita mahu kita sahaja yang mendapat penghargaan diri. 

Adilkah kita? 

1 comment:

shasratul said...

Nice sharing..
It's true..
Manusia selalunya tamak.. Ingin didengari namun tidak mahu mendengar..

Moga dihindari daripada sifat tamak ni :)